Dilahirkan dan dibesarkan di Brickfields, Kuala Lumpur, Sivarajah Natarajan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Institut Seni Malaysia pada tahun 1992. Dikenali sebagai ‘pelukis yang menari’, beliau merakam kecantikan aliran halus dalam seni tari dan juga pergerakan dinamik pada kanvas. Sivarajah Natarajan juga mengembangkan perspektif deria pemerhatiannya dan juga naluri artistik beliau dalam menghasilkan sebuah persembahan adikarya dengan pertunjukan rona cahaya dan rekaan pentas yang mengagumkan dalam pementasan teater Sutra Dance (Tarian Sutra). Sebagai seorang artis, Sivarajah telah berjaya merebut momen-momen kehidupan dan menterjemahkannya ke dalam bongkah-bongkah imejan untuk ditafsir oleh minda pemerhati seni. Sebagai artis profesional dalam seni visual dan juga seni persembahan, Sivarajah adalah tokoh langka yang menjadi penyatu industri seni Malaysia yang berkongsi nilai sensitif artistiknya dalam mempersembahkan sebuah seni Sutra individualistik yang begitu segar dan tersendiri. Untuk pameran ini, karya yang dihasilkan oleh beliau lebih tertumpu kepada hasil kerjanya dalam seni persembahan Melayu seperti seni Mak Yong dan Wayang Kulit, menggunakan medium campuran pada dada kanvas.

 

Mak Yong, Main Petri dan Menora

Main petri dan makyong adalah seni persembahan Melayu adik-beradik yang berasal dari rantau Patani dan Kelantan, beberapa perkampungan desa terpencil di Terengganu, dan Pahang. Pameran main petri dan mak yong yang dipaparkan turut mengkaji manifestasi pemulihan semangat ‘angin Dewa Muda’ sebagai contoh. Dewa Muda and Dewa Pecil adalah dua kisah cerita terpenting di dalam repertoir makyong yang dicipta bagi menyembuhkan penyakit berkaitan psikologi. Angin Dewa Muda merupakan contoh jiwa Melayu ekstrovert di mana Angin Dewa Pecil merupakan contoh jiwa Melayu introvert. Seseorang yang angin Dewa Mudanya terhalang disebabkan oleh keadaan, tidak mampu memenuhi kecenderungan ekstrovertnya (contohnya, keinginan mendapat perhatian, berpakaian cantik, keinginan untuk disanjungi, suka berkawan dan sebagainya). Drama riwayat hidup Dewa Muda digunakan bagi menyembuhkan pesakit yang jikalau tidak diubati akan mengalami kemurungan dan kesedihan akibat keinginan yang terhalang atau tidak tercapai. Menora yang dipaparkan dalam pameran ini adalah suatu bentuk gabungan menarik menora-makyong, yang ditemui di rantau Kelantan dan Patani. Versi ini menggabungkan kedua-dua menora pengaruh Siam dan makyong Melayu.