Wayang kulit merupakan teater tradisional yang menggunakan lampu dan kesan bayang-bayang boneka yang diperbuat daripada belulang, yang merangkumi pelbagai watak mitos dan khayalan. Wayang kulit Kelantan sebagaimana dikenali oleh penduduk tempatan merupakan wayang kulit paling meluas yang dipersembahkan dan juga paling unik di antara empat jenis wayang kulit (wayang kulit Siam, wayang kulit Gedek, wayang kulit Melayu dan wayang kulit Purwa) yang terdapat di Malaysia. Persembahan wayang kulit diketuai oleh Tok Dalang dan diiringi oleh sekumpulan pemain muzik tradisional yang bermain alat muzik gendang (gendang ibu dan anak, gedombak dan geduk), gong (canang dan tetawak), kesi dan juga serunai. Wayang kulit Siam ditemui di Kelantan, Terengganu, Pahang dan juga di daerah Patani. Ia dipersembahkan dalam dialek Melayu Kelantan dan penceritaannya mengandungi cerita ranting iaitu cerita yang diinterpretasi dari cerita pokok, epik Ramayana. Antara watak penting dalam wayang kulit Kelantan ialah Seri Rama, Sita Dewi, Maharaja Wana, Hanuman dan Pak Dogol. Watak pembantu (Pak Dogol/Hanuman) kepada watak utama seringkali memberi bantuan dalam keadaan yang kritikal agar ’hero’ terselamat.