Kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia, menjejaki pesisiran negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor (Mersing). Sebagai masyarakat yang kaya dengan tradisi, dan menjalani kehidupan dengan rentak tersendiri sejak berdekad lamanya, maka tidak hairanlah ia menjadi gedung seni kepada bentuk-bentuk kesenian seperti makyong, main petri, joget gamelan, zapin, ukiran kayu, gasing pangkah Pahang, batik, songket dan pelbagai lagi kekayaan kebudayaan yang lain. Setiap daripada kesenian ini amat berkait rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu yang bergantung kepada laut dan alam semulajadi sebagai sumber rezeki mereka. Mereka membuat wau dan gasing sementara menunggu tibanya musim menuai. Apabila tibanya musim tengkujuh pula, para nelayan tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan. Pada musim ini mereka menjalankan aktiviti menjebak puyuh, menganyam dan menghasilkan kraf. Masyarakat Melayu Pantai Timur di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor (Mersing) mengamalkan kehidupan yang kaya dengan budi bahasa, sopan, berjiwa seni dan masih berpegang teguh kepada warisan adat dan tradisi. Sifat kesenian mereka dipengaruhi oleh hubungan yang erat di antara mereka dengan alam sekitar di mana seni itu dizahirkan melalui aktiviti harian mereka yang berpandukan peredaran musim. Mereka berbangga dengan warisan dan upacara-upacara mereka yang kaya dengan tradisi.