Sejarah Kaabah

Bangunan Kaabah yang terletak di dalam Masjidil Haram di Mekah merupakan kiblat bagi umat Islam seluruh dunia. Bangunan berbentuk kubus berukuran 12m x 10m x 15m ini juga dikenali dengan nama Baitullah atau Baitul Atiq yang bermaksud binaan paling awal, lama, bebas dan merdeka. Kaabah merupakan binaan terawal yang dibina sebagai tempat beribadah kepada Allah SWT. Ia dibina setelah Nabi Adam AS diturunkan ke dunia. Kaabah telah menjadi saksi terhadap sejarah kehidupan manusia bermula daripada Nabi Adam meminta keampunan daripada Allah di atas dosa yang dilakukan dengan melakukan tawaf di Kaabah; pernah tenggelam semasa peristiwa banjir Nabi Nuh, dibina semula oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail di atas tapak yang sama; dijadikan tempat penyembahan 365 buah berhala seperti al-Lata, al-Uzza dan al-Manat pada zaman pemerintahan Quraish; pernah diserang dalam peristiwa tentera bergajah oleh gabenor Ethiopia serta dijadikan galeri pameran syair-syair Arab yang terkemuka. Nabi Muhammad SAW juga pernah terlibat dalam peristiwa meletakkan batu hitam (Hajarul Aswad) ketika Kaabah dilanda banjir besar. Setelah kewafatan baginda SAW, Ibnu Zubair mengembalikan bentuk bangunan Kaabah seperti zaman Nabi Ibrahim AS dengan meletakkan dua pintu yang menghadap ke timur dan barat. Kaabah sekali lagi mengalami perubahan pada zaman Hajjaj bin Yusuf as-Saqafi dengan membuka Hijir Ismail dan menutup pintu di sebelah barat dengan tembok seperti pada zaman Nabi SAW. Pada tahun 1661 Masihi, binaan Kaabah mengalami kerosakan yang teruk akibat banjir yang melanda Mekah. Oleh yang demikian, Sultan Murad ke-4 menitahkan supaya Kaabah dibina dengan menggunakan batu granit dari Gunung Subaikah dan struktur binaan ini kekal sehingga kini.