Pengenalan

Masyarakat Orang Asli dipercayai telah berhijrah ke Semenanjung Malaysia seawal 25,000 tahun yang lalu. Mereka tinggal di kawasan yang jauh di pedalaman yang mempunyai bentuk muka bumi yang tertentu. Mereka mempunyai gaya bahasa, sistem kepercayaan dan amalan hidup yang sangat unik. Pengetahuan mereka mengenai alam sekitar membolehkan mereka menggunakan sumber hutan dengan begitu baik sekali.

Pakar-pakar antropologi dan pihak kerajaan telah mengenal pasti 18 sub-kumpulan Orang Asli berdasarkan tiga kumpulan utama iaitu Semang (Negrito), Senoi dan Orang Asli Melayu (Melayu Proto). Pecahan kecil etnik Negrito dikenali sebagai Kintak, Lanoh, Kensiu, Jahai, Mendriq dan Batek. Manakala pecahan etnik Senoi pula dikenali sebagai Temiar, Semai, Mah Meri, Che Wong, Jah Het dan Semoq Beri. Etnik Melayu Proto pula terdiri daripada enam pecahan etnik yang dikenali sebagai Jakun, Temuan, Semelai, Orang Seletar, Orang Kuala atau Orang Laut, dan Orang Kanaq.

Klasifikasi suku kaum Orang Asli dibuat berdasarkan morfologi, budaya, bahasa dan lokasi geografi. Kaum Senoi merupakan kaum yang terbesar, diikuti oleh kaum Melayu Proto, dan kaum Negrito. Orang Negrito mempunyai ciri-ciri fizikal seperti berkulit gelap dan berambut kerinting. Mereka merupakan penghuni pertama di Tenggara dan meneruskan kelangsungan hidup dengan berburu. Orang Melayu Proto pula mempunyai kulit yang agak cerah, berambut lurus dan bekerja sebagai petani dan peniaga. Mereka yang dari suku kaum Senoi pula biasanya berambut ikal, berkulit cerah dan ada juga yang berkulit gelap. Mereka meneruskan kelangsungan hidup dengan berburu dan berniaga. Keturunan mereka juga dipercayai mempunyai campuran antara kaum Negrito dan penduduk Asia Timur.