Raja Azhar Idris dilahirkan pada September 1952 di Bruas, Perak. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dari Victorian College of The Arts, Melbourne, Australia. Raja Azhar Idris telah mengadakan pameran secara solo dan berkumpulan di dalam dan luar negara sejak tahun 1976. Antara pameran yang pernah diadakan oleh beliau termasuk First Solo Batik Show, Kuala Lumpur and Paris (1976), Raja S.2.D.O. Gallery, Melbourne, Australia (1987), Glass Convention, Melbourne, Australia (2001) dan FRAGILITY VERSATILITY – Tribute to KAK ENDON, Kuala Lumpur (2006). Bakat beliau dalam bidang seni halus diberi pengiktirafan antarabangsa dan beliau pernah menerima anugerah berprestij seperti Acquisitive Art Prize, St. Kilda Art Competition Melbourne, Australia (1980/81); Lord Mayor’s Art Prize (City of Melbourne), Melbourne, Australia (1981); Miniature Gippsland Art Prize, Melbourne, Australia (1982); Rotary Club of St. Kilda Art Prize, Melbourne, Australia (1983) dan Greyhound Art Prize, Melbourne, Australia (1989). Kebanyakan hasil karya beliau bertemakan alam semulajadi dan menggambarkan kehidupan masyarakat pantai timur terutama golongan nelayan. Dalam menghasilkan karya-karyanya, beliau telah menggunakan teknik hatching iaitu satu teknik yang bergantung kepada kepadatan, jumlah, dan ketebalan garis untuk mempengaruhi kesan bayangan bagi menghasilkan lukisan yang menarik.