Syarifah Kirana binti Syed Ghazali telah terlibat dengan dunia rekaan pakaian sejak tahun 1990. Beliau merupakan di antara pereka pakaian wanita berpengaruh yang terawal di Malaysia. Rekaan beliau amat menyerlah dengan ciri-ciri tradisional menjadi asas utama di dalam gaya, motif dan potongan yang diberi sentuhan terkini. Bersesuaian dengan nama beliau yang cukup klasik “Kirana”, jelmaan ini dapat dilihat dengan begitu jelas di dalam setiap rekaan pakaian beliau. Beliau juga diantara pereka pakaian tempatan yang mengangumi fabrik tenun Pahang dan banyak terlibat dengan kerja-kerja mempromosikan kain tenun Pahang di seluruh negara dan juga di persada antarabangsa. Selain menggunakan kain tenun Pahang dalam rekaan pakaian, beliau juga menggunakan kain tenun Pahang dalam kerja-kerja seni yang lain seperti seni tampak. Beliau telah menggunakan perca-perca kain tenun Pahang dalam menghasilkan seni tampak yang digabungkan dengan warna-warna pastel dan menggunakan tema-tema yang berkait rapat dengan sejarah Pahang seperti Tun Teja Ratna Benggala, Puteri Kamaliah, Puteri Ungu dan sebagainya.