Penempatan Orang Asli di Pahang

Pahang adalah negeri yang mempunyai bilangan terbesar penduduk Orang Asli. Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan utama yang terdiri daripada sembilan sub-suku kaum iaitu Melayu-Proto (Jakun, Temuan dan Semelai), Senoi (Temiar, Semai, Jah Het, Che Wong dan Semoq Beri) dan orang Negrito (Bateq).

Berikut merupakan penempatan kumpulan Melayu Proto:
i. Kaum Jakun – daerah Pekan dan Rompin
ii. Kaum Semelai – daerah Tasek Bera, Sungai Teriang dan Paya Besar
iii. Kaum Temuan – daerah Bentong, Raub dan Temerloh

Bagi kumpulan Senoi, penempatan mereka adalah seperti berikut:
i. Kaum Semai – daerah Cameron Highlands dan Raub
ii. Kaum Temiar – daerah Cameron Highlands
iii. Kaum Jah Hĕt – daerah Temerloh dan Jerantut
iv. Kaum Che Wong – daerah Temerloh dan Raub
v. Kaum Semoq Beri – daerah Jerantut dan Maran

Bagi kaum Bateq dari kumpulan Negrito pula, mereka banyak menetap di kawasan Ulu Tembeling dan Taman Negara, Jerantut serta beberapa kawasan di Kuala Lipis.

 

Kraftangan Orang Asli

Masyarakat Orang Asli telah menyumbangkan budaya yang unik dan pelbagai di Malaysia. Falsafah kehidupan mereka dapat dilihat dalam adat resam, agama, kepercayaan dalam kosmologi; dan pantang larang yang menentukan tingkah laku serta interaksi mereka dengan alam sekitar. Mereka mempunyai identiti tersendiri yang dapat dilihat melalui hasil karya seni mereka yang sering terilham melalui hubungan harmonis dengan alam semula jadi. Hasil seni mereka dipengaruhi oleh kepercayaan animisme dan amalan ritual. Mereka menghasilkan objek untuk digunakan dalam sesuatu upacara tertentu dengan menggunakan sumber hutan seperti kayu dan buluh.

Ukiran kayu dan topeng yang dihasilkan oleh kaum Jah Het dan Mah Meri menggambarkan kepercayaan masyarakat mereka yang berkait rapat dengan alam semula jadi. Selain itu, kehidupan mereka yang dipengaruhi oleh sumber alam semula jadi telah banyak menyumbang kepada cara mereka menghasilkan peralatan dan keperluan harian mereka.

Mereka menggunakan alatan seperti sumpit dan tombak untuk berburu, kulit kayu sebagai baju, dan kercang sebagai alat mainan bagi mengisi masa lapang.

Aktiviti menganyam tikar adalah sangat penting kepada Orang Asli khususnya kaum wanita. Motif dan seni anyaman mereka mempunyai identiti sendiri dan amat berbeza mengikut suku kaum. Selain menghasilkan tikar, mereka juga menghasilkan anyaman lain seperti dompet duit, alat tapisan, bekas menyimpan garam dan sebagainya.